Tumpuan :
Dunia

Biden positif COVID-19, Demokrat kian gusar

FOTO: Reuters

LAS VEGAS: Selepas mengakui akan mempertimbangkan kembali keputusan bertanding dalam pemilihan presiden AS jika didiagnosis dengan masalah kesihatan serius, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden didapati positif COVID-19.

Biden, 81 tahun, terpaksa memendekkan kempennya di Las Vegas dan menjalani kuarantin, sekali gus menimbulkan kebimbangan parti Demokrat mengenai keupayaannya berdepan bekas presiden yang juga pesaing hebatnya, Donald Trump, pada pemilihan November ini.

Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre, berkata Biden didapati positif sejurus selesai acara pertama di Las Vegas, menyasarkan pengundi Amerika Latin yang penting.

Menurut White House, Biden mengalami selesema, batuk dan sakit sendi yang biasa dikaitkan dengan coronavirus dan kini mengambil ubat COVID-19.

Biden dilaporkan terbang terus ke kediaman peribadinya di Rehoboth, Delaware bagi menjalani pengasingan.

Selasa lalu, Biden berkata beliau akan berundur sebagai calon presiden jika berdepan masalah kesihatan serius dan dinasihatkan doktor untuk berbuat demikian.

Kebelakangan ini, Biden dilihat bergelut untuk kelangsungan politiknya selepas sesi perdebatan yang teruk menentang Trump hampir tiga minggu lalu, di mana beliau kelihatan letih dan keliru, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai usia dan mentalnya.

Setakat ini, kira-kira 20 Ahli Demokrat dan seorang Senator turut meminta Biden menamatkan perlumbaan untuk terus mentadbir AS.

Sementara itu, perkembangan baharu minggu lalu yang menyaksikan cubaan bunuh terhadap Trump dan sokongan penuh Republikan terhadap Trump sebagai calon presiden AS, turut mengubah sentimen perlumbaan untuk menguasai White House.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat umum menunjukkan saingan ketat antara Biden dan Trump, dengan kedua-dua calon memperoleh sokongan yang agak seimbang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini