Tumpuan :
Dunia

Biden lancar strategi tangani kebencian terhadap orang Islam dan Arab

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. – Foto: Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden melancarkan strategi yang sekian lama dinanti bagi menangani kebencian terhadap komuniti Islam dan Arab yang meningkat sejak bermulanya perang Israel-Gaza.

Dokumen setebal 64 halaman itu, yang merangkumi lebih 100 langkah eksekutif, diterbitkan hanya beberapa minggu sebelum bekas Presiden Donald Trump dijadual memulakan penggal baharunya, bulan depan.

Semasa penggal pertamanya, Trump mengenakan larangan perjalanan terhadap negara majoriti Muslim, yang dibatalkan Biden sebaik sahaja beliau menjawat jawatan.

Strategi itu mencerminkan pendekatan menyeluruh untuk memerangi antisemitisme yang diterbitkan oleh Rumah Putih pada September 2023.

Ia juga hadir lebih setahun selepas kematian Wadea Al-Fayoume, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditikam hingga mati oleh seorang lelaki kerana dia dan ibunya berketurunan Palestin-Amerika.

Biden menyifatkan serangan terhadap budak lelaki Chicago itu dan ibunya sebagai “tindakan keji” dan menekankan peningkatan jenayah kebencian, diskriminasi dan buli terhadap orang Islam serta Arab yang dianggapnya salah dan tidak boleh diterima.

“Orang Islam dan Arab berhak untuk hidup dengan maruah serta menikmati hak sepenuhnya seperti rakyat Amerika lain. Dasar yang menyebabkan diskriminasi terhadap keseluruhan komuniti adalah salah dan gagal memastikan keselamatan kita,” ujar Biden.

Dalam pada itu, Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR), sebuah kumpulan hak sivil Muslim, menyifatkan strategi itu ‘sangat sedikit, terlalu lambat.

Mereka mengkritik Rumah Putih kerana tidak menjanjikan perubahan kepada senarai pemerhatian persekutuan dan senarai “larangan terbang” yang membabitkan ramai warga Arab dan Muslim Amerika.

CAIR juga mengkritik kegagalan pentadbiran Biden untuk menghentikan perang di Gaza, yang dianggap sebagai faktor penyumbang kepada peningkatan Islamofobia.

Pada masa sama, Pengasas Institut Arab Amerika, Jim Zogby menjangkakan bahawa pentadbiran Trump yang akan datang tidak akan mengiktiraf strategi itu.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik tindakan Rumah Putih untuk memperluaskan fokus kepada kebencian terhadap Arab, dan bukan hanya tertumpu kepada tindakan terhadap orang Islam semata-mata.

Trump, yang mendapat sokongan daripada sebilangan pengundi Islam yang marah terhadap sokongan Biden kepada perang Israel di Gaza, berkata beliau akan melarang kemasukan ke AS bagi sesiapa yang mempersoalkan hak Israel untuk wujud dan akan membatalkan visa pelajar asing yang dianggap “antisemitik.”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini