WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menyifatkan keputusan Meta untuk membatalkan fungsi carian semakan fakta di Facebook dan Instagram di AS sebagai langkah yang memalukan.
Biden menegaskan, kebenaran adalah penting dan pengguna perlu berpeluang menyemak fakta sesuatu maklumat.
“Saya fikir ia benar-benar memalukan. Memberitahu perkara yang benar adalah penting, dan penerima harus berpeluang menyemak sesuatu fakta. Langkah ini benar-benar bertentangan dengan semua perkara berkaitan AS,” kata Biden.
Keputusan itu diumumkan Ketua Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, yang memutuskan untuk menyerahkan tugas menangkis maklumat palsu kepada pengguna biasa melalui model dikenali sebagai Nota Komuniti, yang dipopularkan oleh X.
Pengguna kini perlu mengesahkan maklumat secara bebas menggunakan sumber mereka sendiri.
Sementara itu, Rangkaian Penyemakan Fakta Antarabangsa (IFCN) memberi amaran mengenai tindakan Meta jika dasar itu diperluaskan ke lebih 100 negara di mana ia kini digunakan.
Mereka menyatakan, negara-negara terdedah kepada maklumat palsu boleh menghadapi ketidakstabilan politik, campur tangan pilihan raya, dan keganasan.
“Jika Meta memutuskan untuk menghentikan fungsi semakan fakta di seluruh dunia, ia hampir pasti akan membawa kemudaratan nyata di banyak tempat,” menurut surat terbuka IFCN kepada Zuckerberg.
Bagaimanapun, Zuckerberg mempertahankan keputusan itu dengan menyatakan program semakan fakta Meta yang dimulakan pada 2016 kini ketinggalan zaman.
Meta sebelum ini membayar sekitar 80 organisasi penyemak fakta di seluruh dunia untuk beroperasi di platformnya, termasuk Facebook, WhatsApp, dan Instagram.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.