GYEONGGI: Gara-gara berang diejek sebagai golongan pertengahan umur, seorang wanita bertindak menikam tiga individu di dalam kereta api bawah tanah di Korea Selatan.
Menurut media tempatan, wanita terbabit menikam dua penumpang wanita dan seorang lelaki ketika kereta api berkenaan menuju ke Stesen Jukjeon.
Dalam satu kenyataan, polis memaklumkan ketika kejadian suspek sedang bercakap di dalam talian sebelum dia kemudiannya ditegur dengan kasar oleh salah seorang mangsa untuk memperlahankan suaranya.
Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan teruk.
Pihak berkuasa kini dikatakan sedang mempersiap dakwaan ke atas suspek.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara satu hingga 10 tahun.
Selain itu, membawa senjata juga melanggar Perkara 42 Akta Keselamatan Kereta Api.