Tumpuan :
Dunia

Belarus rasmi jadi negara rakan kongsi BRICS

Putin bercakap pada sidang media pada sidang kemuncak BRICS di Kazan, bulan lalu.

MINSK: Belarus secara rasmi telah menjadi negara rakan kongsi BRICS, menurut kenyataan perkhidmatan akhbar Kementerian Luar Belarus kepada Agensi Berita Rusia (TASS).

Menurut kementerian itu, pada 5 November Presiden Belarus Alexander Lukashenko menandatangani surat kepada rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin menyatakan kesediaan Belarus untuk menyertai BRICS sebagai negara rakan kongsi.

Dokumen itu telah diserahkan oleh Menteri Luar Belarus Maxim Ryzhenkov kepada Duta Rusia di Minsk, Boris Gryzlov, dalam satu pertemuan peribadi.

“Maklum balas rasmi kepada jemputan bertulis merupakan sebahagian penting daripada prosedur yang telah dipersetujui oleh negara anggota untuk memperoleh status rakan kongsi. Bermula dari saat ini, negara berkenaan dianggap sebagai negara rakan kongsi rasmi BRICS..

“Lukashenko mengucapkan terima kasih kepada Putin atas sokongannya dan menegaskan dengan rasa puas hati bahawa penyertaan Belarus dalam BRICS sebagai negara rakan kongsi dimuktamadkan semasa Rusia menjadi pengerusi,” kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu lagi, status negara rakan kongsi memberikan Belarus hak untuk mengambil bahagian dalam sesi khas Sidang Kemuncak BRICS dan Mesyuarat Menteri Luar BRICS secara tetap.

Anggota penuh juga boleh menjemput rakan kongsi ke acara lain di peringkat menteri, terutamanya dalam bidang perdagangan, mesyuarat wakil keselamatan negara, dan Forum Parlimen.

Rakan kongsi juga boleh menyertai dokumen akhir BRICS, memperluas liputan geografi dan mengukuhkan suara kumpulan itu dalam hal ehwal antarabangsa.

Terdahulu, Lukashenko dalam wawancara bersama Izvestia di luar Sidang Kemuncak BRICS di Kazan menyatakan bahawa Belarus kini menjadi negara rakan kongsi kumpulan itu. – BERNAMA-TASS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini