THE HAGUE: Kerajaan Belanda mengumumkan rancangan mengurangkan jumlah penerbangan di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam bagi menangani pencemaran bunyi yang menjejaskan komuniti sekitar.
Bermula tahun depan, lapangan terbang itu akan dihadkan kepada 478,000 ketibaan dan pelepasan setahun, iaitu pengurangan sebanyak 4.4 peratus daripada had semasa sebanyak 500,000.
Digabungkan dengan penggunaan pesawat yang lebih senyap, rancangan itu mengurangkan tahap pencemaran bunyi bagi penduduk tempatan sebanyak 15 peratus.
Keputusan itu, bagaimanapun menerima kritikan daripada syarikat penerbangan utama Belanda, KLM.
“KLM menyokong matlamat mengurangkan pencemaran bunyi di sekitar Schiphol.”
“Oleh itu, itu kami melabur sebanyak 7 bilion euro (RM32.7 bilion) dalam pesawat yang lebih senyap serta mencadangkan langkah penting di bawah pelan yang lebih bersih, senyap, dan ekonomi,” menurut syarikat itu.
Namun, KLM menyifatkan keputusan kerajaan sebagai “tidak dapat difahami,” dengan hujah bahawa pelaburan dan inisiatif itu sepatutnya menghapuskan keperluan untuk mengehadkan penerbangan.
Syarikat penerbangan itu juga memberi amaran mengenai kemungkinan implikasi antarabangsa, dengan tindakan itu mungkin mencetuskan sekatan serupa terhadap syarikat penerbangan Belanda di luar negara.
Pada 2023, Lapangan Terbang Schiphol disenaraikan sebagai lapangan terbang ketiga tersibuk di dunia bagi trafik penumpang antarabangsa, dengan perkhidmatan kepada 61.9 juta penumpang dan menghubungkan lebih 300 destinasi di lima benua. – BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.