Tumpuan :
Dunia

Bekas Presiden Peru, Alberto Fujimori meninggal dunia

LIMA: Bekas pemimpin Peru, Alberto Fujimori, yang dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun atas kesalahan rasuah dan pencabulan hak asasi manusia, meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Perkara berkenaan disahkan oleh anak perempuannya, Keiko Fujimori, yang memaklumkan bapanya meninggal setelah bertahun-tahun berjuang melawan kanser.

Fujimori dipenjarakan pada tahun 2009 atas kesalahan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh skuad tentera pada 1991 dan 1992, apabila 25 orang termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dalam operasi anti-pengganas.

Pada 24 Disember 2017, bekas Presiden, Pedro Pablo Kuczynski, memberikan pengampunan kepadanya atas alasan kesihatan, tetapi pengampunan itu dibatalkan oleh Mahkamah Agung Peru pada Oktober 2018.

Sepanjang kariernya, beliau dipuji kerana berjaya menamatkan krisis ekonomi dan pemberontakan berdarah semasa tempoh pemerintahan dari tahun 1990 hingga 2000.

Namun kebanyakan rakyat Peru menganggapnya sebagai diktator kerana menggunakan kuasa tentera,  merangka semula perlembagaan mengikut keinginannya dan undang-undang antikeganasan yang keras.

SUMBER REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini