BERN: Seorang wanita yang juga finalis Miss Switzerland dipercayai dibunuh dengan kejam apabila mayatnya dihancurkan dalam pengisar oleh suaminya.
Memetik laporan oleh Portal Sky News, Kristina Joksimovic, 38, meninggal dunia di rumahnya di Binningen, dekat Basel, Switzerland, Februari tahun ini.
Walaubagaimanapun butiran kejadian mengerikan itu hanya diketahui umum apabila suami kepada bekas model itu, Thomas, 41, mengemukakan rayuan untuk dibebaskan daripada tahanan, baru-baru ini.
Lelaki itu masih menunggu perbicaraan kes berkenaan.
Menurut akhbar tempatan, BZ Basel melaporkan Mahkamah Persekutuan di Lausanne pada 11 September lalu, menolak permohonan Thomas itu.
Berdasarkan laporan media tempatan, Thomas sebelum ini dilaporkan mengaku membunuh isterinya.
Pasangan itu mempunyai dua anak.
Lelaki berkenaan hanya mengakui melakukan pembunuhan itu pada Mac lalu.
Dia mendakwa melakukan perbuatan itu dengan niat mempertahankan diri selepas mendakwa mangsa menyerangnya dengan pisau.
BZ Basel melaporkan, mahkamah mendapati Joksimovic dicekik sehingga mati.
Laporan bedah siasat yang dinyatakan dalam keputusan permohonan itu menunjukkan tertuduh mengerat mayat Joksimovic di dalam bilik dobi, dengan menggunakan gergaji, pisau dan gunting.
Bahagian badan kemudian dicincang dengan pengisar dan dilarutkan dengan bahan kimia.
BZ Basel melaporkan, Thomas ditangkap sehari selepas mayat Joksimovic ditemukan. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.