comscore
Tumpuan :
Dunia

Bekas menteri pengangkutan Singapura dipenjara 12 bulan

Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Iswaran atas 35 pertuduhan yang kebanyakannya berkaitan rasuah

SINGAPURA: Mahkamah Singapura pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan kepada bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran, lapor media tempatan.

Ia kes pertama membabitkan seorang pemegang jawatan politik dalam tempoh lebih empat dekad.

Selepas Iswaran disabitkan minggu lalu kerana menghalang keadilan dan menerima hadiah secara tidak sah, pendakwa raya memohon hukuman enam hingga tujuh bulan, lapor The Straits Times.

Tetapi pasukan pembela kepada bekas menteri yang terkenal kerana membantu membawa Formula Satu ke Singapura itu, berhujah untuk hukuman penjara maksimum lapan minggu.

Awal tahun ini, Iswaran dikenakan 35 pertuduhan yang kebanyakannya berkaitan rasuah di negara yang sering disebut sebagai antara paling kurang rasuah di dunia.

Pihak pendakwa bagaimanapun meneruskan dengan lima pertuduhan yang lebih ringan sahaja, termasuk beberapa pertuduhan yang berkaitan dengan bilionair hartanah.

Iswaran meletak jawatan pada Januari lalu selepas dimaklumkan secara rasmi mengenai pertuduhan itu, termasuk menerima hadiah bernilai lebih AS$300,000 (kira-kira RM1.26 juta).

Dalam surat peletakan jawatan pada masa itu, Iswaran berkata, beliau akan membersihkan namanya di mahkamah.

Iswaran membayar balik kira-kira AS$295,000 (kira-kira RM1.239 juta) dalam bentuk keuntungan kewangan kepada kerajaan, dan hadiah termasuk sebuah basikal Brompton turut dirampas daripadanya, kata pejabat peguam negara.

Perbicaraan beliau dianggap oleh pemerhati sebagai salah satu yang paling penting dari segi politik dalam sejarah negara itu.

Ahli politik kanan terakhir Singapura yang disabitkan dengan rasuah adalah pada 1975, apabila Wee Toon Boon, ketika itu menteri negara untuk alam sekitar, didapati bersalah menerima rasuah bernilai lebih daripada AS$600,000 (kira-kira RM2.52 juta), menurut media tempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini