BAITULMAQDIS/GAZA: Hamas melancarkan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas Israel, hari ini, dalam tindakan mengejut yang menggabungkan gerakan pejuang melintas sempadan dan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza.
Bunyi siren amaran bergema ke seluruh bahagian selatan serta tengah Israel termasuk Baitulmaqdis, manakala tentera rejim Zionis berkata mereka kini dalam situasi peperangan, dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pula memanggil mesyuarat tergempar dengan pegawai keselamatan.
Insiden kali ini adalah yang paling serius sejak Israel dan Hamas berperang selama 10 hari pada 2021, dengan media Israel melaporkan pertempuran bersenjata antara kumpulan pejuang Palestin dengan pasukan keselamatan di bandar-bandar sekitar selatan Israel.
Hamas melancarkan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas Israel, hari ini, dalam tindakan mengejut yang menggabungkan gerakan pejuang melintas sempadan dan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza.
Sumber: Palm Strategic Initiative Centre pic.twitter.com/mlALwJj0Db
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 7, 2023
Komander tentera Hamas, Mohammad Deif, mengumumkan pelancaran operasi berkenaan dalam siaran melalui media gerakan itu seraya menggesa penduduk Palestin di mana jua berada untuk sama-sama berjuang.
“Ini adalah hari pertempuran terbesar untuk menamatkan pendudukan terakhir di bumi,” katanya sambil memaklumkan sejumlah 5,000 roket telah dibedil dalam serangan itu.
Perkhidmatan kecemasan memaklumkan setakat ini, sekurang-kurang seorang wanita Israel dilaporkan terbunuh, dan kru ambulans dikerahkan ke kawasan sekitar Semenanjung Gaza. – REUTERS