KAHERAH: Penduduk yang mula pulang ke Gaza disambut suasana suram dengan bau mayat mereput dan kemusnahan hampir kesemua kawasan perumahan yang ditinggalkan sejak perang Israel-Palestin, 15 bulan lalu.
Difahamkan, sejumlah besar mayat masih tertimbus dibawah runtuhan bangunan dan belum dapat dikeluarkan lagi susulan musim sejuk yang sudah bermula.
Penduduk Palestin di utara Gaza semalam mula melakukan persiapan dengan menyediakan khemah untuk ahli keluarga yang hilang tempat tinggal, dua hari sebelum mereka dijangka kembali ke rumah masing-masing.
Persiapan itu dibuat ketika kumpulan pejuang Hamas dijadual membebaskan kumpulan kedua tebusan sebagai pertukaran bagi puluhan warga Palestin yang dipenjarakan Israel, seperti dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.
Ramai daripada ratusan ribu warga Palestin yang dijangka kembali ke utara Gaza akan pulang ke rumah yang musnah akibat serangan ketenteraan Israel selama 15 bulan, membunuh lebih 47,000 penduduk wilayah itu.
Pada Oktober lalu, pasukan Israel kembali ke utara Gaza dalam operasi besar-besaran anti-Hamas yang menumpukan pada kem pelarian Jabalia berhampiran Bandar Gaza, Beit Hanoun dan Beit Lahiya.
Operasi itu mengakibatkan penduduk kawasan berkenaan melarikan diri dan sebahagian besar bangunan di situ dirobohkan.
Hamas dalam kenyataan semalam, berkata keluarga yang hilang tempat tinggal akan mula kembali ke utara Gaza selepas pertukaran tebusan selesai esok, selain pasukan Israel berundur dari jalan pesisir menuju ke utara.
Hamas juga menegaskan, individu yang kembali ke utara Gaza tidak dibenarkan membawa senjata.
Sekurang-kurangnya empat tebusan dijangka diserahkan kepada Israel, esok.
Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, berkata kumpulan itu sedang berhubung dengan beberapa pihak Arab dan antarabangsa yang akan membantu operasi membawa pulang dan bantuan, termasuk menyediakan khemah.
Beliau berkata, Hamas yang mentadbir wilayah itu akan segera memulakan usaha membaiki rumah yang tidak musnah sepenuhnya. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.