Tumpuan :
Dunia

Bas sekolah terbakar di Thailand, 25 disyaki terkorban

Foto fail Reuters

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 25 orang termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah dipercayai terkorban apabila bas yang dinaiki terbakar.

Menurut Bangkok Post, 44 pelajar dan guru sedang dalam lawatan dari daerah Uthai Thani, kira-kira 250 kilometer dari Bangkok apabila tayar bas berkenaan pecah lalu merempuh penghadang jalan hingga tangki bahan bakar bas itu meletup.

Kejadian berlaku berhampiran pusat membeli-belah Zeer Rangsit pada pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan) berdekatan dengan Lapangan Terbang Don Muang di Bangkok.

Insiden itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

“Saya telah mengetahui tentang kebakaran di sebuah bas yang membawa pelajar dari Uthai Thani … yang mengakibatkan kematian dan kecederaan.

“Sebagai seorang ibu, saya ingin menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga-keluarga,” katanya dalam satu catatan di media sosial di X.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit berkata 19 mangsa cedera telah dibawa ke hospital berdekatan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Laporan awal mengatakan terdapat 44 orang di dalam bas tersebut, iaitu 38 pelajar dan enam guru. Setakat yang kami tahu, tiga guru dan 16 pelajar berjaya keluar,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar insiden yang memaparkan kepulan asap tebal menyelubungi bas berkenaan dalam keadaan kenderaan itu masih terbakar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini