NEW DELHI: Seorang bapa di India menjadi mangsa terbaharu skim penipuan membabitkan Kepintaran Buatan (AI) apabila menerima panggilan daripada nombor luar negara yang tidak dikenali.
Himanshu Shekhar Singh dimakluman bahawa anak lelakinya yang berusia 18 tahun ditangkap bersama sekumpulan perogol dan memerlukan Rs30,000 (S$486) untuk membersihkan namanya.
“Saya mendengar suara berkata, ‘Papa tolong bayar dia, mereka adalah anggota polis sebenar, tolong selamatkan saya’.
“Saya tidak ragu walau sesaat bahawa dia bukan anak saya. Gaya bercakap, menangis… semuanya sama,” katanya.
Walaupun berasa curiga, namun kerana bimbang pemanggil mungkin seorang penculik, beliau kemudian membuat bayaran awal sebanyak Rs10,000 (S$162).
Shekar Singh kemudian mengambil keputusan untuk mencari anaknya yang didapati sedang menjalani ujian di pusat pendidikan tanpa sebarang kecederaan.
Kejadian itu adalah tiga kes utama yang menggegarkan New Delhi sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila penipu memanfaatkan AI dengan menggunakan rakaman suara palsu kanak-kanak bagi meyakinkan untuk menipu ibu bapa supaya memindahkan wang.
Audio deepfakes boleh dibuat dengan klip sebenar suara.
Kes pengklonan suara turut dilaporkan berlaku di bahagian lain di dunia.
Pada Mei 2023, polis di wilayah Mongolia dimaklumkan tentang kes di mana penipu menggunakan teknologi menukar muka untuk menyamar sebagai rakan mangsa ketika panggilan video.
Mangsa kemudian membayar deposit untuk menyelesaikan proses bidaan dengan memindahkan 4.3 juta yuan (S$805,000) kepada penipu.
Dia menyedari dia ditipu hanya selepas rakan itu memaklumkan tidak mengetahui apa-apa tentang situasi itu.
Di Hong Kong, sebuah syarikat ditipu sebanyak HK$200 juta (S$34 juta) selepas seorang pekerja menerima panggilan bersama ketua pegawai kewangan syarikat yang berpangkalan di Britain dan pekerja lain.
Rakan sekerja “palsu” itu memberi arahan kepada pekerja untuk memindahkan jumlah wang ke akaun berasingan dan mangsa mematuhinya. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.