GENEVA: Trak membawa bantuan kemanusiaan telah memasuki Gaza, hari ini, setelah perjanjian gencatan senjata antara Hamas dengan Israel berkuat kuasa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Trak-trak pertama yang membawa bekalan sudah mula masuk sejurus selepas gencatan senjata berkuat kuasa, pagi Ahad.
“Sejak beberapa hari lalu, usaha besar-besaran dilakukan oleh rakan-rakan kemanusiaan untuk memuatkan bekalan bantuan yang melonjak, sekali gus bersiap siaga mengagihkannya ke seluruh Gaza.”
Demikian dimaklumkan oleh Ketua Interim Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), agensi bantuan untuk wilayah Palestin, Jonathan Whittall, dalam hantaran melalui X, hari ini.
Bagaimanapun, PBB tidak memberikan butiran mengenai tempat di mana penghantaran bekalan bantuan terbabit memasuki Gaza.
Namun, sumber Mesir yang enggan namanya didedahkan berkata, sebanyak 197 trak membawa bantuan dan lima lagi dengan muatan bahan api telah masuk melalui lintasan Kerem Shalom yang terletak antara Gaza dengan Israel, dan juga al-Oga serta Nitzana (Mesir-Israel).-AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.