comscore
Tumpuan :
Dunia

Banjir kilat Thailand: 100 Gajah diselamatkan, dua lagi terkorban

100 ekor gajah diselamatkan manakala dua terkorban dalam proses pemindahan akibat banjir kilat. – FOTO: Elephant Nature Park

BANGKOK: Banjir kilat melanda sebuah pusat perlindungan gajah yang terkenal di utara Thailand, menyebabkan dua ekor gajah terkorban dan memaksa lebih 100 ekor lagi dipindahkan pada Khamis dan Jumaat.

Gambar yang tular di media sosial memaparkan puluhan gajah meredah air yang mencecah paras pinggang manusia di pusat perlindungan Elephant Nature Park berhampiran bandar Chiang Mai.

Pengasas pusat perlindungan itu, Saengduean Lek Chailert menyifatkan tragedi bencana itu sebagai yang terburuk pernah dialami.

“Ini adalah pemindahan terbesar yang pernah kami lakukan untuk menyelamatkan nyawa mereka, air naik dengan cepat. Ada beberapa ekor yang tidak sempat dipindahkan. Tiga belas gajah dewasa masih terperangkap dalam kandang mereka.

“Hati saya hancur. Mereka dibawa arus di hadapan mata saya,” katanya dalam temu bual bersama CNN.

Gajah, haiwan yang cukup sinonim dengan negara itu, telah mengalami kemerosotan populasi dalam beberapa dekad akibat ancaman daripada industri pelancongan, pembalakan, pemburuan haram, dan pencerobohan manusia ke atas habitatnya.

Pakar menganggarkan populasi gajah di Thailand kini hanya tinggal sekitar 3,000 hingga 4,000. Menyaksikan penurunan mendadak daripada lebih 100,000 ekor pada awal abad ke-20.

Utara Thailand yang sedang dilanda banjir kilat dan tanah runtuh dalam beberapa minggu kebelakangan ini berpunca daripada hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Yagi, ribut paling kuat di Asia tahun ini, hingga menyebabkan puluhan kematian di wilayah itu pada pertengahan September.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini