JAKARTA: Banjir kilat yang melanda berhampiran Danau Toba di wilayah Sumatera Utara, Indonesia menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan 11 lagi dilaporkan hilang.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB, dalam satu kenyataan, lewat malam tadi, hujan lebat diikuti banjir kilat melanda wilayah terletak di pinggir tasik itu, sejak petang kelmarin, sehingga merosakkan puluhan rumah dan masing-masing sebuah gereja, sekolah serta hotel.
Banjir kilat itu juga menyebabkan batu besar, pokok dan lumpur dibawa arus deras menuruni lereng bukit.
Malah, gambar dikeluarkan pihak agensi itu menunjukkan beberapa kediaman tertimbus hingga ke paras bumbung.
BNPB memaklumkan, sekitar 350 orang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), manakala kira-kira 200 individu sudah dipindahkan.
Danau Toba yang juga tasik gunung berapi terbesar di dunia, adalah destinasi pelancongan popular bukan sahaja dalam kalangan rakyat Indonesia malah pelancong antarabangsa