Tumpuan :
Dunia

Banjir Besar Bakal Melanda Pakistan Sekali Lagi

FOTO: REUTERS

ISLAMABAD, Pakistan: Ketika komuniti antarabangsa sedang menghulurkan bantuan bagi meredakan kesengsaraan yang ditanggung jutaan penduduk Pakistan akibat banjir, pihak berkuasa negara itu memaklumkan, bencana alam itu tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

Malah, banjir besar dijangka berlaku di selatan Pakistan apabila paras air di Tasik Manchar terus meningkat dan boleh melimpah pada bila-bila masa susulan hujan lebat berterusan.

Jabatan meteorologi meramalkan lebih banyak hujan akan turun di bahagian selatan Pakistan dalam beberapa hari akan datang.

Penduduk di daerah Jamshoro serta Dadu di wilayah Sindh telah segera berpindah ke kawasan tinggi.

Tasik itu yang terletak di barat Sungai Indus, merupakan tasik air tawar terbesar di Pakistan.

Perkembangan terbaharu itu berlaku sehari selepas Pakistan merayu lebih banyak bantuan daripada antarabangsa.

Jumlah korban setakat ini mencecah 1,300 orang selain jutaan yang lain kehilangan tempat tinggal.

Barisan kepemimpinan Pakistan ‘menyalahkan’ musim monsun luar biasa dan perubahan iklim berhubung banjir yang berlaku.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dijangka melawat Pakistan pada 9 September ini bagi melihat sendiri keadaan banjir di Pakistan.

Sementara itu, Pakistan menerima 30 penerbangan antarabangsa yang membawa bantuan dari Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perancis, Uzbekistan.

Loading...
Terkini