Tumpuan :
Dunia

Bahagian timur Istana Buckingham dibuka kepada umum 

FOTO: Reuters

LONDON: Buat julung kalinya bahagian timur Istana Buckingham di sini, akan dibuka kepada umum minggu depan,

Pembukaan itu selepas 175 tahun struktur itu dibina.

Kawasan itu menempatkan balkoni yang pernah digunakan mendiang Ratu Victoria, Raja George V dan Ratu Elizabeth II itu akan dibuka kepada pengunjung secara terhad dengan caj bernilai £75 (RM380.97).

Maklumat mengenai lawatan Istana Buckingham dan pembukaan bahagian timurnya pada musim panas boleh didapati di laman sesawang Royal Collection.

Pengunjung juga berpeluang meninjau bilik berkonsepkan cinoiseri di sebalik tirai di balkoni itu.

Konsep cinoiseri menampilkan perabot, kertas dinding dan kain mempunyai corak gaya China, digunakan pada abad ke-17 dan ke-18 di Perancis.

Ciri utama hiasan ini menggunakan elemen terdapat pada tembikar China, seperti lakuer yang berkilat.

Pemilihan konsep itu dibuat berdasarkan minat mendiang Raja George IV menghias Pavilion Diraja di Brighton dengan pelbagai objek seni seramik dan perabot unik.

Semua objek dan perabot terbabit kemudian dipindahkan ke Istana Buckingham oleh Ratu Victoria pada 1850, selepas baginda menjual tempat percutiannya untuk membina sayap timur istana bagi menampung pertambahan ahli keluarga diraja.

Juruukur karya seni raja, Caroline de Guitaut, berkata balkoni yang digunakan ‘untuk berhubung dengan rakyat’ itu diilhamkan oleh suami mendiang Victoria, Putera Albert.

Biarpun pengunjung tidak dibenarkan memasuki balkoni itu, namun mereka masih berpeluang melihat pemandangan menghadap memorial Victoria menerusi tirai yang sering digunakan kerabat diraja untuk mengintai perjalanan acara rasmi.- AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini