Tumpuan :
Nasional

Azam Smile ditemui tidak bernyawa dalam keadaan meniarap atas katil

Allahyarham Shukri ditemui sudah tidak bernyawa dalam keadaan meniarap, petang semalam.

KUALA LUMPUR: “Dia ditemui sudah tidak bernyawa dalam keadaan meniarap di atas katil di rumahnya. Hidung dan tangannya sudah biru dan berada dalam keadaan sejuk.

“Terdapat bantal di dada dan di depannya ada komputer riba,” kata pengurus kepada penyanyi Allahyarham Shukri Zainal, Vina yang ditemui meninggal dunia di rumahnya, petang semalam.

Shukri atau nama sebenarnya, Mohamad Azam Zainal Abidin, 38, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh Vina yang bergegas ke rumahnya apabila panggilan tidak berjawab.

“Kali terakhir saya berhubung dengannya sekitar jam 2 petang semalam bagi bertanya sama ada sudah makan tengahari atau belum.

“Dia cakap sudah tempah ‘prawn macaroni’. Jam 6.50 petang, saya hubungi untuk pergi makan malam, tapi tak berjawab. Dia tinggal seorang diri di satu kawasan kediaman di Shah Alam.

“Saya risau dan bergegas ke rumahnya. Setiba di sana, saya tekan loceng dan ketuk pintu tak berjawab.

“Saya hubungi beberapa rakannya yang tinggal berdekatan, antaranya Zam Handy Black untuk minta bantuan. Mereka dapati pintu berkunci dari dalam dan mereka umpil pintu hingga hampir pecah.

“Saya hubungi ambulans, unit peronda dan petugas kesihatan. Mereka tiba dan kemudian sahkan dia sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, sewaktu dijumpai, mereka mendapati makanan dipesan langsung tidak terusik.

“Dia tak pernah ada sakit. Awalnya, kami sangka kematiannya akibat serangan jantung. Namun, selepas proses bedah siasat di Hospital Klang, doktor kata pembuluh darah pecah dan ‘stress’ kerana kurang tidur.

“Dia memang banyak kerja sebab jadi ‘content creator’ dan kerjanya sangat padat,” katanya.
Shukri yang menggunakan nama Azam Smile pernah menghasilkan beberapa single.

Antaranya Sudahlah Sayang dan Atas Cintamu.
Allahyarham Shukri baru selesai merakamkan lagu Hari Raya berjudul Gedebak Gedebuk Raya bersama syarikat Javs Team dan baru menyiapkan muzik video lagu terbabit.

Jenazah Allahyarham Shukri dibawa ke Kampung halamannya di Batang Rokan, Gemencheh dan dikebumikan petang tadi.

Loading...
Terkini