comscore
Tumpuan :
Dunia

Australia cadang larangan penggunaan media sosial untuk remaja bawah 16 tahun

Foto hiasan

SYDNEY: Australia pada Khamis mencadangkan rancangan melarang penggunaan media sosial dalam kalangan individu berusia bawah 16 tahun.

Perdana Menterinya, Anthony Albanese berkata, rancangan itu bertujuan mengurangkan risiko media sosial dalam melindungi kesejahteraan golongan itu daripada terdedah dengan ancaman dalam talian.

“Saya tahu ramai ahli keluarga bimbang tentang keselamatan anak-anak kita di dunia dalam talian. Kerajaan ini berdiri teguh bersama anda dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita. Media sosial memberi kesan buruk kepada generasi muda, dan sudah tiba masanya kita mengambil tindakan untuk mengawalnya.” kata Albanese semasa sidang media di Canberra.

Tambahnya, langkah penggubalan undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini, dan jika diluluskan, undang-undang tersebut dijangka berkuat kuasa dalam tempoh 12 bulan selepas mendapat pengesahan daripada pembuat dasar.

Bagaimanapun Albanese menegaskan, bahawa kerajaan akan meletakkan tanggungjawab untuk menguatkuasakan had umur ini di bahu platform media sosial itu sendiri, bukan kepada ibu bapa atau individu

Menurut cadangan kerajaan, platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan TikTok perlu menunjukkan bukti bahawa mereka telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan kanak-kanak di bawah umur tidak dapat mengakses platform mereka.

Cadangan itu juga dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet Nasional esok untuk perbincangan lanjut.

Langkah Australia itu mengikuti jejak beberapa negara lain yang telah berusaha mengawal penggunaan media sosial oleh kanak-kanak melalui undang-undang, namun dasar negara itu diramal menjadi antara yang paling ketat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini