NAIROBI: Atlet Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei meninggal dunia hari ini selepas bertarung nyawa akibat dibakar secara hidup-hidup oleh teman lelakinya dalam satu kejadian di Kenya.
Menurut Ketua Jawatankuasa Olimpik Uganda, Donald Rukare, pihaknya sangat sedih dengan berita kematian atlet berusia 33 tahun itu yang mengalami kecederaan parah.
Pemangku Ketua Hospital Pengajaran dan Rujukan Moi (MTRH) memaklumkan, Cheptegei melecur di bahagian kulitnya sebanyak 80 peratus dan semua organnya tidak berfungsi sejak malam tadi.
Polis berkata, seorang lelaki dikenali sebagai Dickson Ndiema Marangach yang juga pasangannya didakwa menyimbah petrol ke atas mangsa dan membakarnya dalam satu serangan pada Ahad di rumahnya di Endebess, daerah barat Trans-Nzoia.
Kejadian itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Cheptegei menyertai maraton di Sukan Olimpik Paris, di mana dia menduduki tempat ke-44.
Media Kenya melaporkan bahawa salah seorang anak perempuan Cheptegei menyaksikan serangan berkenaan yang berlaku di kediamannya.
“Dia menendang saya ketika saya cuba berlari untuk menyelamatkan ibu,” lapor akhbar The Standard Kenya memetik kata-katanya.
Marangach turut cedera dalam kejadian itu dengan melecur sebanyak 30 peratus pada tubuhnya–Agensi
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.