WASHINGTON: Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) semalam mengesahkan pasukan Israel melakukan pengunduran pertama dari sebuah bandar di selatan Lubnan dan digantikan oleh tentera Lubnan di bawah perjanjian gencatan senjata.
Menurut CENTCOM, Ketua Komando, Jeneral Erik Kurilla berada di ibu pejabat pelaksanaan dan pemantauan hari ini semasa pengunduran pertama Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan digantikan oleh Angkatan Bersenjata Lubnan di Al-Khiam, Lubnan, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.
Kurilla berkata, ia adalah langkah pertama yang penting sejajar dengan keputusan gencatan senjata.
Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, menyatakan penempatan tentera di kawasan Khiam dan Marjayoun adalah langkah untuk memperkukuh kedudukan tentera di selatan.
Tentera Israel mengumumkan Briged Ketujuh telah selesai melaksanakan misi mereka di Khiam, sementara tentera Lubnan dan UNIFIL dikerahkan ke kawasan tersebut.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, menyatakan sokongan kepada gencatan senjata yang bertujuan membawa ketenangan berpanjangan dan membenarkan penduduk kembali ke kediaman mereka.
Israel mempertingkatkan kempen ketenteraannya di selatan Lubnan selepas serangan Hizbullah pada Oktober 2023.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 27 November dan secara amnya masih bertahan, walaupun kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB akan dikerahkan di selatan Lubnan manakala tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari.
Hizbullah juga dijangka menarik balik pasukannya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan, dan membongkar infrastruktur ketenteraannya di selatan Lubnan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.