Tumpuan :
Dunia

AS, Ukraine tetap sedia tanda tangan perjanjian mineral

FOTO: Reuters

WASHINGTON D.C: Meskipun agenda asal dicemari insiden di Pejabat Oval pada Jumaat lalu, Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Ukraine tetap merancang untuk menandatangani perjanjian mineral yang diperdebatkan.

Trump dikatakan telah memberitahu penasihatnya beliau mahu mengumumkan perjanjian terbabit dalam ucapannya kepada Kongres pada malam Selasa.

Namun memberi amaran perjanjian itu belum ditandatangani dan situasi boleh berubah.

White House pula belum mengeluarkan sebarang kenyataan selepas diminta mengulas perkembangan terbaharu itu.

Pentadbiran Presiden Ukraine di Kyiv dan Kedutaan Ukraine di Washington juga belum memberikan sebarang komen mengenai perkara ini.

Perjanjian ini ditangguhkan selepas pertemuan tegang di Pejabat Oval antara Trump dan Zelenskyy, yang mengakibatkan pemimpin Ukraine itu segera meninggalkan White House.

Zelenskyy pada jadual asalnya ke Washington untuk menandatangani perjanjian berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Trump dan Naib Presiden JD Vance menegur Zelenskyy, dengan menyatakan Presiden Ukraine itu seharusnya berterima kasih kepada AS atas sokongan yang diberikan dan bukannya terus meminta bantuan tambahan di hadapan media.

Sementara itu, pegawai AS beberapa hari kebelakangan ini telah berbincang dengan pegawai di Kyiv mengenai kemungkinan meneruskan perjanjian mineral itu meskipun berlaku ketegangan pada Jumaat.

Mereka juga menggesa penasihat Zelenskyy meyakinkan Presiden Ukraine itu untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Trump, bagi memulihkan keadaan.

Terbaharu, Zelenskyy memuat naik kenyataan di X bahawa Ukraine bersedia untuk menandatangani perjanjian itu, sambil menyifatkan ketegangan pada pertemuan di Pejabat Oval adalah perkara yang dikesalkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini