KUALA LUMPUR: TikTok kini tidak lagi boleh diakses di Amerika Syarikat (AS) selepas larangan terhadap platform itu berkuat kuasa beberapa jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Pengguna aplikasi itu menerima mesej bahawa TikTok telah dihentikan sementara kerana undang-undang baharu.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Agung AS menyokong undang-undang yang diluluskan tahun lalu, yang mengharamkan TikTok melainkan syarikat induknya, ByteDance, menjual platform tersebut kepada entiti bukan China.
Bagaimanapun, ByteDance dilaporkan gagal memenuhi syarat itu menjelang Ahad.
Sementara itu, Presiden terpilih, Donald Trump yang akan dilantik pada Isnin, menyatakan kemungkinan besar akan memberikan penangguhan selama 90 hari kepada TikTok.
Katanya, keputusan itu akan diumumkan selepas pelantikannya.
Pencipta kandungan dan pengguna TikTok di AS turut terkesan dengan larangan ini. Beberapa pencipta sempat mengucapkan selamat tinggal kepada pengikut mereka sebelum aplikasi itu berhenti berfungsi.
Mereka menyifatkan kehilangan platform itu memberi impak besar, terutama sebagai medium sumber pendapatan mereka.
Larangan itu turut menyaksikan aplikasi TikTok dibuang daripada App Store Apple dan Google Play Store di AS. Laman web TikTok di negara itu juga dilaporkan tidak lagi memaparkan sebarang video.
Pada masa sama, TikTok mendakwa larangan itu melanggar hak kebebasan bersuara lebih 170 juta pengguna di negara itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.