KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menerima dua warga Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo, Cuba, selepas diserahkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan menerima dua banduan itu dibuat atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat.
Katanya, kedua-dua banduan itu ditahan sejak 2006.
“Sehubungan itu, kerajaan sudah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu berkenaan merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajikan dan saringan kesihatan.
“Kementerian Dalam Negeri merakam ucapan penghargaan kepada pelbagai agensi Kerajaan yang terbabit dalam menyempurnakan proses penyerahan kedua-dua rakyat Malaysia ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan dua rakyat Malaysia itu adalah Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.