Tumpuan :
Dunia

AS luluskan jualan senjata bernilai AS$3 bilion kepada Israel

Seorang pekerja persenjataan penerbangan mengalihkan bom seberat 2,000 paun (907kg) yang dilaraskan sebagai MK-84 Peluru Serangan Terus Bersama (JDAM) ke lif pesawat, bersebelahan jet pejuang F-14 ‘Tomcat’ di atas kapal USS John F Kennedy.

WASHINGTON: Pentagon semalam memaklumkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meluluskan potensi jualan bom, kit letupan dan senjata lain, bernilai hampir 3 bilion dolar Amerika (RM13.39 bilion) kepada Israel.

Jualan ini merangkumi 35,529 kerangka bom dan 4,000 bom pemusnah kubu dari General Dynamics.

Penghantaran dijangka bermula tahun depan, dengan kemungkinan penggunaan stok milik AS untuk penghantaran segera.

Pakej kedua bernilai 675 juta dolar Amerika termasuk 5,000 bom dan kit panduan bom graviti, dengan penghantaran dijangka pada 2028.

Notifikasi ketiga melibatkan jentera Caterpillar D9 bernilai 295 juta dolar Amerika.

Potensi jualan senjata itu dimaklumkan kepada Kongres AS petang semalam atas dasar kecemasan.

Ia mengetepikan amalan sedia ada yang memberi ruang kepada pengerusi serta ahli kanan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan AS dan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat menilai transaksi itu, selain meminta maklumat tambahan sebelum pemberitahuan rasmi dibuat kepada Kongres.

Ini menandakan pengisytiharan kecemasan kedua oleh pentadbiran Trump untuk meluluskan jualan senjata kepada Israel.

Pentadbiran Biden juga menggunakan kuasa kecemasan sebelum ini untuk meluluskan jualan senjata kepada Israel.

Isnin lalu, pentadbiran Trump membatalkan perintah era Biden yang mewajibkan laporan mengenai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas membuka jalan bagi rundingan, tetapi kedua-dua pihak mendakwa melanggar gencatan senjata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini