WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengekalkan undang-undang melarang aplikasi TikTok atas alasan keselamatan negara, kecuali syarikat induknya, ByteDance, menjual aplikasi itu kepada AS.
Keputusan 9-0 ini menyebabkan TikTok dan 170 juta penggunanya di AS dalam ketidaktentuan, dengan nasib aplikasi kini berada di tangan Donald Trump.
Undang-undang tersebut diluluskan oleh majoriti bipartisan di Kongres tahun lalu dan ditandatangani oleh Presiden Joe Biden.
Namun, semakin ramai ahli parlimen yang pada mulanya menyokong undang-undang itu kini cuba memastikan TikTok terus beroperasi di AS.
TikTok, ByteDance, dan beberapa penggunanya mencabar undang-undang tersebut, bagaimanapun Mahkamah Agung memutuskan keputusan itu tidak melanggar Perlembagaan AS yang melindungi kebebasan bersuara.
Dalam pada itu, Reuters melaporkan ByteDance tidak berusaha untuk menjual TikTok menjelang tarikh akhir yang ditetapkan pada Ahad, tetapi penutupan aplikasi itu mungkin hanya bersifat sementara.
Trump, yang pernah cuba melarang TikTok pada 2020, berkata dia akan mengambil tindakan untuk menyelamatkan aplikasi berkenaan.
“Keputusan saya mengenai TikTok akan dibuat tidak lama lagi, tetapi saya perlu masa untuk menilai situasi. Nantikan!” kata Trump dalam satu hantaran di media sosial.
CEO TikTok, Shou Zi Chew, yang dijadualkan hadir di majlis perasmian kedua Trump pada Isnin, turut mengucapkan terima kasih kepada Trump atas komitmennya untuk bekerjasama mencari penyelesaian agar TikTok kekal beroperasi di AS.
Pemilikan TikTok oleh syarikat China menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin AS, terutama dengan ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia, China dan AS.
Undang-undang tersebut dikuatkuasakan atas alasan keselamatan negara, dengan kebimbangan bahawa China dapat menggunakan TikTok untuk mengumpulkan data sensitif daripada jutaan pengguna di AS.
Sementara itu, pentadbiran Biden menegaskan bahawa TikTok boleh terus beroperasi jika ia bebas daripada kawalan China.
Biden juga menyatakan nasib dan masa depan aplikasi itu bergantung kepada Presiden Baharu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.