Tumpuan :
Dunia

AS hentikan operasi Starship SpaceX milik Elon Musk

FOTO: Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) telah menghentikan operasi Starship SpaceX selepas kapal angkasa itu musnah dalam satu letupan semasa ujian misi terbarunya di Laut Caribbean.

Pihak berkuasa Kepulauan Turks dan Caicos mengesahkan pengalihan semua penerbangan di ruang udara berkenaan selepas insiden tersebut.

Selain itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan SpaceX untuk menyiasat kejadian itu.

Ketika insiden berlaku, tiada kecederaan awam dilaporkan, dan FAA sedang bekerjasama dengan SpaceX untuk memastikan tiada kerosakan harta benda awam di kawasan berkenaan.

Selain itu, SpaceX turut diminta menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sebarang tindakan pembetulan yang akan disemak oleh FAA.

Tegas FAA, sebagai alternatif syarikat itu boleh memohon untuk kembali beroperasi lebih awal jika ia dapat menunjukkan langkah-langkah keselamatan yang mencukupi dan mengesahkan kejadian terbabit tidak membahayakan orang awam.

Khamis lalu, sebuah roket SpaceX Starship terputus hubungan di angkasa beberapa minit selepas dilancarkan dari Texas memaksa syarikat penerbangan yang merentasi Teluk Mexico mengubah haluan bagi mengelak terkena serpihan yang jatuh ke bumi.

Kerajaan Kepulauan Turks dan Caicos, sebuah kepulauan yang dikawal oleh Britain, mengesahkan pengalihan semua penerbangan semasa insiden berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan di media sosial dengan gambar dan video mengenai hujan serpihan yang menyerupai meteor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini