comscore
Tumpuan :
Dunia

AS cadang haramkan perisian, perkakasan China dalam kenderaan – Sumber

Sebuah kilang pengeluaran kenderaan. – FOTO: Reuters

WASHINGTON: Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) dijangka mencadangkan larangan perisian dan perkakasan China yang disambungkan dalam kenderaan ekoran kebimbangan keselamatan negara kata dua sumber kepada Reuters.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, membangkitkan kebimbangan mengenai pengumpulan data oleh syarikat China dalam kalangan pemandu di AS selain manipulasi kenderaan dihubungkan kepada ‘the internet’ dan sistem pandu arah.

Peraturan yang dicadangkan itu akan mengharamkan import dan penjualan kenderaan dari China dengan komunikasi utama, perisian atau perkakasan sistem pemanduan automatik, kata dua sumber itu, yang enggan dikenali.

Ia susulan keputusan berkenaan larangan itu belum didedahkan kepada umum. Langkah itu menunjukkan peningkatan ketara dalam sekatan berterusan AS terhadap kenderaan, perisian dan komponen China.

“Dasar China boleh membanjiri pasaran kita dengan kenderaannya, menimbulkan risiko kepada keselamatan negara kita (AS),” menurut kenyataan yang pernah dikeluarkan Biden sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak akan membiarkan perkara itu berlaku ketika pentadbirannya.

Menurut sumber, Jabatan Perdagangan AS merancang untuk memberi masa 30 hari kepada orang awam untuk memberi komen sebelum sebarang peraturan dimuktamadkan.

Hampir semua kenderaan baharu di jalan raya AS dianggap mempunyai rangkaian yang boleh disambungkan dengan internet.
Kenderaan itu mempunyai perkakasan rangkaian dalam kenderaan yang membolehkan akses internet, membolehkan mereka berkongsi data dengan peranti di dalam dan di luar kenderaan.

Jabatan berkenaan juga merancang untuk mencadangkan larangan terhadap perisian berkuat kuasa bagi kenderaan model keluaran 2027 dan larangan terhadap perkakasan akan berkuat kuasa pada Januari 2029 atau tahun model 2030.

Larangan itu termasuk kenderaan dengan ciri ‘bluetooth’, satelit, dan tanpa wayar tertentu serta kenderaan yang sangat autonomi yang boleh beroperasi tanpa pemandu.

Sekumpulan dwipartisan penggubal undang-undang AS pada November menimbulkan kebimbangan mengenai syarikat kereta dan teknologi China yang mengumpul dan mengendalikan data sensitif semasa menguji kenderaan autonomi di AS.

Kata sumber itu, larangan itu akan diperluaskan kepada negara saingan AS yang lain termasuk Russia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini