Tumpuan :
Dunia

AS bincang dengan 4 kumpulan berbeza mengenai penjualan TikTok – Trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, pentadbirannya sedang berhubung dengan empat kumpulan berbeza mengenai penjualan platform media sosial milik China, TikTok dan semua pilihan yang ada adalah baik.

Nasib TikTok terus menjadi tanda tanya sejak undang-undang yang mewajibkan pemiliknya, ByteDance menjual perniagaan itu atas alasan keselamatan negara atau berdepan larangan berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.

Trump, selepas mengambil alih jawatan Presiden AS pada 20 Januari, menandatangani perintah eksekutif untuk menangguhkan penguatkuasaan undang-undang itu selama 75 hari.

Ketika ditanya sama ada perjanjian mengenai TikTok akan dimeterai dalam masa terdekat, Trump memberitahu wartawan di atas pesawat Air Force One: “Mungkin”.

“Kami sedang berurusan dengan empat kumpulan berbeza, dan ramai yang berminat… keempat-empatnya adalah pilihan yang baik,” tambahnya.

Bagaimanapun, sehingga kini masing-masing TikTok dan ByteDance belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penjualan itu.

Kekacauan yang melanda TikTok menarik perhatian beberapa pembeli berpotensi, termasuk bekas pemilik pasukan besbol Los Angeles Dodgers, Frank McCourt, yang menyatakan minat terhadap perniagaan pantas berkembang itu.

Menurut penganalisis, anggaran nilai platform dalam talian TikTok kini mencecah AS$50 bilion (RM221 bilion). – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini