MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) akan menghantar satu lagi bekalan ‘senjata berangkai’ ke Ukraine dalam tempoh terdekat, lapor Sputnik memetik laporan The New York Times pada Khamis.
Tiga pegawai AS memberitahu akhbar itu bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden merancang untuk membekalkan Ukraine dengan lebih banyak bom berangkai, dua bulan selepas pakej pertama bantuan senjata dihantar ke Kyiv.
Akhbar itu melaporkan permintaan Kyiv untuk peluru dijangka meningkat ekoran banyak unit kini semakin bergantung kepada artileri berat untuk mempersiapkan kemaraan infantri berbanding pertempuran senjata gabungan NATO yang sukar untuk dikuasai tentera Ukraine.
Walaupun dikritik secara meluas oleh aktivis hak asasi manusia selain ditentang oleh beberapa ahli parlimen AS, pentadbiran Biden menghantar pakej bantuan ketenteraan pertamanya ke Ukraine pada Julai yang meliputi peluru berangkai. .
Senjata itu tidak dilengkapi peranti pemusnah sendiri.
Menurut data tentera AS, lima hingga 14 peratus daripada peluru mungkin tidak meletup kerana telah disimpan terlalu lama dan boleh menyebabkan ia berada di lapangan selama bertahun-tahun.
Ukraine telah meratifikasi Konvensyen Ottawa mengenai Senjata Berangkai pada tahun 2005, yang melarang penggunaan, pembangunan, pengeluaran, pemerolehan, penyimpanan dan pemindahan senjata berangkai. – BERNAMA-SPUTNIK