WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa negaranya akan mengambil alih semenanjung Gaza dan bertanggungjawab terhadap pemulihannya, termasuk menghapuskan sisa peperangan dan membangunkan semula kawasan itu.
“Kami akan memiliki Gaza, menghapus bom yang tidak meletup serta senjata berbahaya, meratakan kawasan itu dan membersihkan bangunan yang musnah,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih, pada Selasa.
Trump turut mencadangkan agar rakyat Palestin berpindah ke lokasi baharu yang disediakan oleh negara Asia Barat yang lain, dengan alasan Gaza tidak lagi sesuai untuk didiami selepas mengalami kemusnahan besar akibat konflik berpanjangan.
“Saya tidak fikir mereka patut kembali ke Gaza. Tempat itu tidak sesuai untuk didiami. Ia hanyalah timbunan runtuhan,” katanya.
Apabila ditanya sama ada AS bersedia menghantar tentera untuk mengisi kekosongan keselamatan di Gaza, Trump tidak menolak kemungkinan itu.
“Jika perlu, kami akan lakukan. Kami akan mengambil alih wilayah itu dan membangunkannya semula,” katanya.
Kenyataan Trump itu dilihat sebagai langkah drastik yang boleh meningkatkan ketegangan di Asia Barat, terutama selepas beliau sebelum ini mengkritik penglibatan ketenteraan AS dalam peperangan di rantau tersebut.
Sikapnya yang menolak Gaza sebagai penempatan kekal untuk rakyat Palestin turut mencetuskan kebimbangan, terutamanya dalam kalangan negara jiran Israel yang enggan menerima pelarian Palestin.
Menurut CNN, Pendekatan Trump ini dijangka mendapat sokongan daripada ahli politik konservatif Israel yang mahu Tel Aviv bertindak lebih tegas ke atas Gaza. Namun, ia juga berpotensi menimbulkan ketegangan dengan pemimpin dunia Arab yang sebelum ini menolak sebarang rancangan pemindahan rakyat Palestin secara paksa.
Netanyahu, yang berada di Washington bagi membincangkan fasa seterusnya gencatan senjata di Gaza, dilihat tersenyum ketika Trump mengeluarkan kenyataan kontroversi itu.
Lawatan pemimpin Israel itu dijadual berlangsung selama beberapa jam dan termasuk sidang media bersama, yang bertujuan menunjukkan solidariti Trump terhadap Israel.
Trump turut mendakwa beliau memainkan peranan penting dalam perjanjian pertukaran tahanan dan gencatan senjata yang dicapai sebelum beliau mengambil alih jawatan presiden.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.