BUENOS AIRES: Kerajaan Argentina pada Selasa mengumumkan cadangan untuk memperbaharui undang-undang imigresen termasuk menamatkan akses percuma kepada rawatan perubatan di hospital awam bagi warga asing serta mengenakan bayaran terhadap pelajar asing, lapor Xinhua.
Jurucakap Presiden, Manuel Adorni, berkata langkah itu bertujuan “mewujudkan negara yang lebih teratur dan melindungi rakyat Argentina.”
Ia akan membolehkan universiti awam mengenakan bayaran kepada pelajar asing bukan pemastautin yang menuntut di negara itu, sekali gus menjana pendapatan baharu untuk institusi pengajian tinggi.
“Ketika ini, satu daripada tiga pelajar perubatan di negara ini adalah warga asing,” kata Adorni dalam sidang media di pejabat kerajaan.
Cadangan itu juga akan menamatkan perkhidmatan rawatan kesihatan percuma kepada warga asing, manakala agensi kesihatan peringkat nasional, wilayah, atau perbandaran diberi kuasa untuk menentukan syarat akses, termasuk kemungkinan mengenakan bayaran.
— BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.