Tumpuan :
Dunia

Arab Saudi untut gencatan senjata di Gaza, tegaskan sokongan kepada UNRWA di sesi UNGA

Abdulaziz Al-Wasil Duta Tetap Arab Saudi ke PBB. Foto: Reuters

NEW YORK: Duta Tetap Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB, Abdulaziz Al-Wasil, menegaskan semula seruan kerajaan Arab Saudi untuk gencatan senjata di Gaza pada Sesi Khas Kecemasan Ke-10 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengenai Palestin, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Sesi tersebut membincangkan dua resolusi yang dibentangkan kepada Perhimpunan Agung mengenai sokongan kepada mandat Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) dan tuntutan untuk gencatan senjata di Gaza.

Al-Wasil berkata penyalahgunaan kuasa veto dan pemilihan dalam penerapan undang-undang antarabangsa telah menyumbang kepada berterusannya perang pembunuhan beramai-ramai, jenayah buruk Israel di Gaza dan peluasan pencerobohan.

Beliau menegaskan semula seruan kerajaan Arab Saudi untuk gencatan senjata di Gaza dan turut menyambut gencatan senjata di Lubnan, sambil mengutuk pelanggaran perjanjian oleh Israel.

Al-Wasil menekankan peranan penting UNRWA dan mengecam undang-undang Israel yang menentang agensi tersebut serta sasaran sengaja terhadap mandatnya.

Duta tersebut juga menyeru penyertaan aktif dalam persidangan antarabangsa peringkat tinggi yang akan datang mengenai penyelesaian isu Palestin.

Persidangan tersebut yang akan dipengerusikan bersama oleh Arab Saudi dan Perancis, dijadualkan pada bulan Jun di New York.

Al-Wasil menegaskan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan hak mereka, dengan menekankan bahawa keamanan adalah pilihan strategik, berdasarkan penyelesaian dua negara dan Inisiatif Keamanan Arab serta selaras dengan resolusi antarabangsa.

Berikutan perkembangan terkini di Syria, Al-Wasil mengutuk serangan Israel ke atas wilayah Syria.

Beliau menegaskan bahawa tindakan sedemikian menekankan pelanggaran berterusan Israel terhadap undang-undang antarabangsa dan tekad untuk merosakkan peluang Syria dalam memperoleh semula keselamatan, kestabilan, dan integriti wilayahnya.

Beliau juga mengulangi identiti Arab dan Syria bagi Dataran Tinggi Golan yang diduduki.

Delegasi Arab Saudi mengundi menyokong kedua-dua resolusi pada sesi UNGA dan kedua-dua resolusi tersebut telah diterima.

Resolusi yang menyokong mandat UNRWA diterima dengan 159 negara menyokong, 9 menentang, dan 11 berkecuali.

Sementara itu, resolusi yang menuntut gencatan senjata di Gaza mendapat 158 undi menyokong, 9 menentang, dan 13 berkecuali. — BERNAMA-SPA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini