RIYADH: Pemberian visa umrah melalui aplikasi telefon pintar “Nusuk” ditangguhkan mulai Khamis, 23 Mei (15 Zulkaedah) hingga 21 Jun (15 Zulhijjah).
Perkara itu dinyatakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam infografik yang dimuat naik di akaun rasmi X kementerian itu pada Khamis, sekali gus melarang semua kategori pemegang visa pelancong dari memasuki Makkah sepanjang tempoh berkenaan bagi melancarkan persediaan musim haji 1445 Hijrah.
Kementerian itu turut menegaskan hanya pemegang visa haji sahaja yang dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, serta mengingatkan mengenai pelaksanaan hukuman berat terhadap individu yang ditahan kerana berada di tujuh kawasan yang dikhususkan untuk jemaah haji secara tidak sah.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan penguatkuasaan penalti 10,000 Riyal (SAR10,000) terhadap individu yang memasuki tujuh kawasan larangan tanpa permit haji iaitu Makkah, Wilayah Tengah, Masyair, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.