MEKAH: Arab Saudi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari ini, Jumaat.
Pengumuman itu dibuat oleh Mahkamah Diraja menerusi satu kenyataan selepas memutuskan bahawa Jumaat, 1 Syawal 1444 Hijriah bersamaan 21 April 2023 adalah hari pertama Aidilfitri.
Menurut laporan Arabian Business, anak bulan Syawal dilaporkan dilihat di Tamir.
Sempena kedatangan Syawal itu juga, kerajaan mengisytiharkan cuti umum hujung minggu selama empat hari untuk Aidilfitri yang akan berlangsung dari 20 hingga 23 April.
Selain Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga akan menyambut Aidilfitri pada Jumaat.
Sementara itu, Umat Islam di Pakistan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu.
Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Ruet-e-Hilal Pusat di Islamabad.
Pada satu sidang media, pengerusi panel melihat anak bulan, Maulana Abdul Khabir Azad, berkata jawatankuasa itu sebulat suara memutuskan Hari Raya Puasa ditetapkan pada Sabtu.