RIYADH: Arab Saudi akan menganjurkan Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam pada 11 November untuk menangani serangan Israel di wilayah Palestin dan Lubnan, serta perkembangan serantau.
Agensi Anadolu melaporkan kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi mengatakan sidang kemuncak yang dirancang itu akan menjadi susulan daripada sidang kemuncak sebelum ini yang diadakan di Riyadh pada 11 November 2023, untuk membincangkan perang Israel di Gaza.
Kementerian itu mengutuk ‘Jenayah dan pelanggaran’ berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, serta serangan di Lubnan, sambil menekankan risiko serius terhadap keselamatan dan kestabilan serantau.
Ketegangan serantau sudah meningkat berikutan serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza, yang mengorbankan lebih 43,160 orang sejak 7 Oktober tahun lalu.
Ketika konflik merebak ke Lubnan dengan Israel melancarkan serangan maut di seluruh negara itu, lebih 2,700 orang terbunuh dan lebih 12,500 yang lain cedera dalam serangan israel sejak tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.
Walaupun terdapat amaran antarabangsa bahawa rantau Asia Barat berada di ambang perang serantau akibat serangan berterusan Israel di Gaza dan Lubnan, Tel Aviv memperluaskan konflik itu pada 1 Oktober dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.