comscore
Tumpuan :
Dunia

Ankara, Moscow mungkin bincang bekalkan bijirin kepada negara memerlukan

Foto Reuters

ANKARA: Ankara dan Moscow mungkin memulakan rundingan mengenai bekalan bijirin Rusia kepada negara yang memerlukan seawal minggu depan, dengan Rusia dan Turkiye mahu memulakan penghantaran secepat mungkin, memetik sumber lapor Sputnik.

“Kami (Ankara) akan mula membincangkan butiran teknikal projek ini dalam tempoh terdekat, mungkin minggu depan. Kami menjangkakan semua isu akan diselesaikan dengan cepat yang akan memungkinkan penghantaran bermula tidak lama lagi,” menurut sumber itu.

Tiada tarikh khusus ditetapkan untuk mesyuarat perwakilan itu.

Ketika ditanya mengenai rundingan penyambungan semula Inisiatif Bijirin Laut Hitam, sumber itu berkata “ia masih menemui jalan buntu.”

“Ia banyak bergantung kepada rundingan pada Sidang Kemuncak G20 dan Perhimpunan Agung PBB. Namun kami bimbang dari segi risiko kenaikan harga dan krisis makanan secara umum,” kata sumber itu tanpa memberikan maklumat mengenai perbincangan antara Ankara dan Barat ketika pihak Rusia menganggap pakej baharu cadangan perjanjian bijirin PBB sebagai sia-sia.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Luar Rusia Alexander Grushko berkata Rusia dan Turkiye telah mencapai persetujuan asas mengenai pembekalan sejuta tan bijirin, dengan perbincangan mengenai butiran teknikal akan bermula dalam tempoh terdekat. – BERNAMA-SPUTNIK

Loading...
Terkini