comscore
Tumpuan :
Dunia

Angka mangsa korban letupan ‘walkie-talkie’ meningkat kepada 20 orang

BEIRUT: Angka mangsa korban letupan kedua di Lubnan meningkat kepada 20 orang.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Lubnan yang turut mengesahkan 450 lagi mangsa cedera dalam kejadian berkenaan.

Kejadian di pinggir bandar Beirut dan Lembah Bekaa itu berlaku serentak tidak sampai 48 jam selepas letupan alat kelui yang meragut 12 nyawa dan mencederakan 3,000 yang lain berlaku di ibu kota Lubnan terbabit.

Dalam kejadian terbaharu kali ini, walkie-talkie yang digunakan pejuang Hizbullah pula meletup serentak di seluruh negara itu.

Sekurang-kurangnya satu letupan berlaku berhampiran lokasi majlis pengebumian pejuang Hizbullah yang terbunuh dalam letupan alat kelui.

Dalam pada itu, Reuters mendedahkan model walkie-talkie yang meletup berkenaan adalah model ICOM IC-V82, milik syarikat komunikasi radio dan telefon Jepun.

Namun, model berkenaan sudah tidak dikeluarkan lagi sejak tahun 2014.

Susulan serangan terbaharu di Lubnan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, PBB bakal mengadakan sidang tergempar susulan permintaan dalam kalangan negara Arab bagi membincangkan perkara terbabit. – REUTERS

Loading...
Terkini