comscore
Tumpuan :
Dunia

Angka korban terus meningkat, susulan pertempuran berterusan di Sudan

Foto : Reuters

OMDURMAN: Pertempuran sengit antara Tentera Sudan dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera berterusan di ibu negara Khartoum dan kawasan sekitarnya semalam, mengorbankan berpuluh orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, 22 orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara.

Konflik terbaharu membabitkan kedua-dua pihak berlaku di bandar Omdurman berhampiran ibu negara.

Sasaran serangan adalah di kawasan penting seperti pangkalan udara, ibu pejabat kor kejuruteraan, serta ibu pejabat pasukan simpanan pusat Tentera Sudan.

Bandar Omdurman juga merupakan pangkalan penting pasukan RSF untuk memindahkan tentera dan senjata dari Darfur di barat Sudan ke kawasan pinggir ibu negara.

Sejak awal Julai, Tentera Sudan telah menggerakkan pasukan khas untuk melancarkan operasi berskala besar di Omdurman, dan berhasrat untuk membersihkan askar RSF dari kawasan itu.

Bagaimanapun tentangan sengit daripada kedua-dua pihak membawa kepada pertempuran yang lebih meluas di banyak kawasan. Tentera Sudan mendakwa, 20 anggota RSF telah terbunuh dengan beberapa kenderaan tempur musnah.

Konflik bersenjata di Sudan telah berlarutan hampir tiga bulan, menyebabkan banyak orang awam terkorban selain kemusnahan harta benda yang semakin meningkat. – REUTERS

Loading...
Terkini