NAIROBI: Bekas canselor Jerman Angela Merkel menerima Hadiah Keamanan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam satu majlis di Ivory Coast pada Rabu.
Hadiah itu sebagai mengiktiraf dasar pelarian Merkel yang diperkenalkan pada 2015, apabila Jerman menerima lebih 1.2 juta pelarian dan pendatang lain, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Merkel berkata dialog mampu menjadi senjata yang kuat bukan senjata yang lemah dan anugerah ini didedikasikan kepada sukarelawan yang membantu menyambut pelarian ketika kemuncak krisis.
Hadiah itu disampaikan oleh Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay.
Azoulay berkata Merkel telah menunjukkan keberanian tatkala pihak lain enggan menerima pelarian.
Pengerusi Kesatuan Afrika dan Presiden Senegal Macky Sall menggelar Merkel sebagai negarawan dan pejuang kemanusiaan.
Pada majlis itu, UNESCO turut menghargai usaha Julienne Lusenge dari Republik Demokratik Congo yang banyak membantu memberi sokongan dan bantuan kepada mangsa keganasan seksual di timur Congo.
Hadiah Keamanan mula diperkenalkan pada tahun 1989 dan telah dianugerahkan setiap tahun sejak 1991 kepada individu atau organisasi yang telah memberi sumbangan luar biasa untuk mempromosikan, menyelidik atau menjamin keamanan.
Pemenang pertama ialah Nelson Mandela dan Frederik Willem de Klerk yang menerima anugerah itu selepas pemansuhan apartheid di Afrika Selatan. – BERNAMA