ROM: Gelombang haba luar biasa yang melanda Itali dan sebahagian besar Eropah menghampiri kemuncaknya apabila suhu dijangka mencecah paras tertinggi baharu di kebanyakan bandar besar di Itali.
Agensi Anadolu melaporkan, Rom yang digelar ‘ibu kota Infernal’ oleh media asing membuka puluhan ‘pusat bantuan’ khas di sekitar kotanya bagi melindungi warga emas, mereka yang tidak berdaya dan pelancong, memandangkan suhu dijangka mencecah ke paras tertinggi 42 darjah Celsius.
Pulau Sicily dan Sardinia juga bersiap sedia untuk menghadapi suhu paling panas di Eropah, pada paras 48 darjah Celsius di beberapa kawasan di selatan seperti yang diramalkan oleh Agensi Angkasa Eropah.
Menurut data agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), rekod Eropah sebelum ini dicatatkan di Sicily dua tahun lalu pada suhu 48.8 darjah Celcius.
Pada Selasa, sejumlah 20 daripada 27 bandar utama Itali diletakkan di bawah amaran merah.
Kementerian Kesihatan mencadangkan beberapa siri peraturan untuk membantu mengurus kesan gelombang haba, termasuk menyediakan ‘kod haba’ di bilik kecemasan hospital, bertujuan memberi keutamaan kepada mereka yang mengalami isu berkaitan haba.