MAGHRIBI: Mouhamad Elhasan, 59 tahun memaklumkan sedang makan malam bersama keluarga ketika gempa dahsyat melanda.
Anak lelakinya 31 tahun, yang berlari keluar dari rumah mereka terus dihempap runtuhan sebaik kediaman jiran mereka jatuh menyembah bumi.
Elhasan bertungkus lumus mencari anaknya itu tatkala mangsa menjerit meminta pertolongan.
Namun malangnya, jeritan mangsa akhirnya terhenti dan sebaik ditemui, dia sudah tidak lagi bernyawa.
Elhasan bersama isteri dan anak perempuan yang berada di dalam rumah sewaktu kejadian dilaporkan selamat.
Di perkampungan Tinmel serta beberapa kampung lain, penduduk menarik keluar mangsa dari bawah runtuhan dengan tangan mereka sendiri.
Sementara itu Tikekhten turut mengalami kemusnahan teruk dengan hanya tinggal beberapa bangunan sahaja lagi teguh berdiri.
Mohamed Ouchen, 66 tahun berkongsi dia dan beberapa penduduk lain telah menyelamatkan lebih 25 mangsa dari bawah runtuhan termasuk adik perempuannya.
Mereka tidak mempunyai sebarang peralatan, dan terpaksa menggunakan tangan.