comscore
Tumpuan :
Dunia

Amerika Syarikat guna kuasa veto tolak resolusi gencatan senjata

Foto: Reuters

NEW YORK: Tatkala angka korban rakyat Palestin menjangkau lebih 17,000 orang, Amerika Syarikat pula terus dengan tindakan ‘tidak berakal’ menggunakan kuasa vetonya.

Cadangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, (UNSC) yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza ditolak bulat-bulat.

Cadangan draf resolusi ringkas dikemukakan Emiriah Arab Bersatu, (UAE) itu disokong 13 ahli lain.

 

Britain bertindak berkecuali, manakala Washington pula diasingkan secara diplomatik kerana melindungi sekutunya Israel.

Undian dibuat selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu, (PBB), Antonio Guterres mengeluarkan amaran kepada 15 negara anggota UNSC dengan menggunakan Artikel 99 Piagam PBB yang jarang digunakan.

Beliau menegaskan operasi ketenteraan Israel dan pejuang Hamas tidak wajar dijadikan alasan untuk menghukum rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Timbalan Duta Amerika Syarikat, Robert Wood mendakwa, draf resolusi itu adalah teks tergesa-gesa dan berat sebelah.

Tambahnya, meskipun Amerika Syarikat menyokong keamanan kekal yang kononnya Israel dan Palestin boleh hidup dengan aman, namun menolak gesaan gencatan senjata segera.

Sebaliknya Amerika Syarikat menawarkan pindaan besar draf resolusi itu, serta mengutuk serangan Hamas ke atas Israel yang setakat ini hanya mengorbankan 1,200 orang.

Duta Besar Britain ke PBB, Barbara Woodward berkata, negaranya berkecuali kerana tiada kutukan terhadap Hamas.

Dalam pada itu, Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan tidak berucap di majlis itu sebaliknya mengeluarkan kenyataan, gencatan senjata hanya apabila semua tebusan diserahkan kembali dan pejuang Hamas ditumpaskan.

Keadaan ini jelas menunjukkan Amerika Syarikat mengutamakan diplomasinya sendiri berbanding gesaan UNSC untuk pembebasan lebih ramai tebusan.

Loading...
Terkini