NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) akan meninggalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 22 Januari 2026, menurut kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin.
Presiden AS, Donald Trump yang memaklumkan keputusan itu secara rasmi kepada PBB mendakwa agensi terbabit gagal menguruskan pandemik dan krisis kesihatan antarabangsa lain dengan baik.
Trump perlu memberikan notis setahun mengenai penarikan diri AS dari badan yang berpusat di Geneva itu, dan membayar yuran tertunggak mengikut resolusi bersama Kongres AS yang diluluskan pada 1948.
AS adalah penyumbang kewangan terbesar kepada WHO, dengan menyumbang kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan jumlah pembiayaan agensi itu.
Bajet dua tahun WHO yang terbaharu bagi 2024 hingga 2025, berjumlah AS$6.8 bilion.
Bagaimanapun, tidak jelas berapa banyak yang perlu dibayar oleh AS.
“Saya boleh mengesahkan bahawa kami kini telah menerima surat AS mengenai penarikan diri dari WHO. Surat itu bertarikh 22 Januari 2025 dan ia akan berkuat kuasa setahun dari semalam, iaitu pada 22 Januari 2026,” kata Timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq.
Menurut beberapa pakar dari dalam dan luar WHO, penarikan diri AS ini dijangka memberi impak besar terhadap program-program di seluruh organisasi itu, terutama berkaitan penyakit berjangkit terbesar di dunia seperti tuberkulosis (TB) dan HIV/AIDS, selain penyakit kecemasan lain.
Perintah penarikan diri yang ditandatangani oleh Trump menyatakan bahawa pentadbiran beliau akan menghentikan rundingan mengenai perjanjian pandemik membabitkan WHO ketika proses penarikan diri berlangsung.
Kakitangan Kerajaan AS yang bekerja dengan WHO akan dipanggil pulang dan disusun semula, manakala Kerajaan AS akan mencari rakan kongsi untuk mengambil alih aktiviti WHO yang perlu diteruskan.-REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.