Tumpuan :
Dunia

Amaran kesihatan dikeluarkan berkaitan Ulser Buruli di Selatan Australia

SYDNEY: Pihak berkuasa kesihatan di negeri kedua paling padat penduduk di Australia mengeluarkan amaran berhubung penyebaran ulser pemakan daging, lapor Xinhua.

Jabatan Kesihatan Victoria pada Jumaat memaklumkan bahawa kes ulser Buruli kini merebak di seluruh negeri, termasuk di kawasan pedalaman Melbourne.

Ulser Buruli adalah jangkitan bakteria yang dipercayai disebarkan dari “possum” kepada manusia melalui gigitan nyamuk.

Pada peringkat awal, ia muncul sebagai benjolan atau luka yang tidak menyakitkan, tetapi boleh berkembang menjadi ulser yang merosakkan.

Jika tidak dirawat, ulser pemakan daging ini boleh menyebabkan kecacatan kekal dan ketidakupayaan jangka panjang.

Menurut amaran Jabatan Kesihatan, risiko jangkitan paling tinggi berlaku semasa musim panas, dan ulser boleh mengambil masa empat hingga lima bulan untuk berkembang sepenuhnya.

Sehingga 17 Disember, sebanyak 344 kes jangkitan ulser Buruli disahkan di Victoria tahun ini, berbanding 362 pada tempoh yang sama pada 2023, 338 pada 2022, 286 pada 2021, dan 217 pada 2020.

“Semua individu berisiko dijangkiti. Penyakit ini boleh berlaku pada semua peringkat umur, tetapi kes ulser Buruli tertinggi berlaku dalam kalangan mereka berusia 60 tahun ke atas di Victoria,” menurut amaran itu.

Jangkitan tidak boleh disebarkan, tetapi ahli keluarga pesakit yang disahkan di Victoria disarankan memantau simptom kerana mereka mungkin terdedah kepada sumber persekitaran yang sama.

Dengan pengesanan awal, ujian diagnostik adalah mudah dan rawatan boleh mengurangkan kesan penyakit dan kerosakan tisu dengan ketara, menurut Jabatan Kesihatan.

Penduduk Victoria yang berjumlah 6.9 juta orang dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan dengan mengelakkan gigitan nyamuk. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini