Tumpuan :
Dunia

Al Jazeera kutuk pembunuhan Hamza Al-Dahdooh, Mustafa Thuraya

Wartawan Al Jazeera, Hamza Al-Dahdooh. Foto ihsan Al Jazeera.

DOHA: Rangkaian Media Al Jazeera mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyasarkan kereta seorang wartawan Palestin di utara Rafah, Palestin pada Ahad.

Serangan itu mengakibatkan kematian tragis wartawan Hamza Al-Dahdooh dan Mustafa Thuraya, anggota kru Al Jazeera selain menyebabkan seorang lagi wartawan Hazem Rajab cedera parah.

“Pembunuhan Mustafa dan Hamza, anak kepada pewarta veteran Al Jazeera, Wael Al-Dahdoh semasa mereka dalam perjalanan untuk melaksanakan tugasan mereka di Semenanjung Gaza, Palestin menegaskan semula keperluan untuk segera mengambil tindakan undang-undang terhadap tentera penceroboh untuk memastikan tiada pihak terlepas daripada hukuman,” menurut Al Jazeera dalam satu kenyataan pada Ahad, lapor Agensi Berita Jordan, Petra.

Pada November 2023, tentera Israel secara sistematik menyasarkan Wael dan keluarganya, mengakibatkan kematian isteri, anak lelaki, anak perempuan dan cucu lelakinya.

Wael dan jurukamera, Samer Abu Daqqa turut menjadi sasaran serangan Israel pada Disember 2023.

“Pembunuhan Hamza pada Januari 2024 mengesahkan tanpa ragu-ragu tekad tentera Israel untuk meneruskan serangan kejam terhadap wartawan dan keluarga mereka yang bertujuan untuk menghalang pengamal media daripada melaksanakan misi mereka, bertentangan dengan prinsip kebebasan akhbar dan menjejaskan hak untuk hidup,” menurut kenyataan itu.

Al Jazeera turut mengutuk sekeras-kerasnya jenayah berterusan yang dilakukan oleh tentera penceroboh ke atas wartawan dan profesional media di Gaza dan menekankan bahawa trend yang membimbangkan itu memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa.

“Kami menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kerajaan, organisasi hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mempertanggungjawabkan Israel ke atas jenayah kejamnya serta menggesa tindakan menyasarkan dan membunuh wartawan dihentikan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA-PETRA

Loading...
Terkini