![](https://media.buletintv3.my/2024/03/16ECCi0T-BULETIN-TV3-A-42.jpg)
JAKARTA: Seramai 193 juta rakyat Indonesia dijangka akan ‘mudik’ atau balik kampung menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan.
Detik.com melaporkan, data berkenaan diperoleh hasil tinjauan yang dilakukan Agensi Dasar Pengangkutan (BKT), Kementerian Pengangkutan Indonesia (Kemenhub).
“Berdasarkan hasil tinjauan BKT, terdapat trend peningkatan pergerakan rakyat pada Aidilfitri tahun ini, iaitu 71.7 peratus daripada jumlah penduduk Indonesia atau 193 juta orang.
“Daripada angka ini, sebanyak 14.6 peratus atau 28.4 juta penduduk dari Jabodetabek akan membuat perjalanan pulang ke kampung,” kata Menteri Pengangkutan Budi Karya Sumadi, pada Ahad dipetik dari detikFinance.
Budi Karya berkata, tahun ini jumlah mereka yang pulang ke kampung juga meningkat, berbanding 123 juta orang tahun lalu.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya sudah melakukan pelbagai persiapan supaya perjalanan pulang ke kampung lancar.
“Antara langkah yang akan diambil adalah mengeluarkan surat keputusan bersama (SKB) berhubung peraturan lalu lintas dan aliran semasa arus mudik dan pengangkutan pulang pada 5 Mac 2024.
“SKB mengandungi peraturan mengenai sekatan operasi dan pengangkutan barang ketika cuti Aidilfitri 2024,” katanya. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.