Tumpuan :
Dunia

Agensi polis metropolitan, balai polis Yongsan diserbu

SEOUL: Pasukan penyiasat khas polis menyerbu Agensi Polis Metropolitan Seoul, Balai Polis Yongsan dan enam pejabat lain, sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas kegagalan polis bertindak dengan sewajarnya dalam tragedi rempuhan Itaewon yang mengorbankan 156 nyawa.

Serbuan itu berlaku sehari selepas agensi polis negara mengakui tiada tindakan diambil selepas menerima 11 panggilan kecemasan mengenai kesesakan di Itaewon empat jam sebelum tragedi.

Lapan lokasi yang diserbu juga termasuk Pejabat Yongsan Ward, Ibu Pejabat Bomba & Bencana Metropolitan Seoul, Balai Bomba Yongsan dan ibu pejabat Seoul Metro.

Tumpuan siasatan adalah sama ada pegawai polis yang menerima laporan itu menjalankan kewajipannya dan sama ada komander polis yang bertugas bertindak dengan betul.

Pasukan penyiasat juga dijangka melihat sama ada Balai Polis Yongsan telah mengambil tindakan yang betul untuk mengawal ketenteraman awam atau mempunyai perancangan pengurusan keselamatan yang mencukupi sebelum pesta itu berlangsung.

Hanya kira-kira 200 anggota polis dilaporkan dihantar ke Itaewon pada masa itu, terutama untuk misi membanteras seks, dadah dan kecurian.

Siasatan itu juga dijangka meneliti dakwaan bahawa Agensi Polis Metropolitan Seoul menolak permintaan Balai Polis Yongsan untuk menambah anggota pasukan polis rusuhan, selain kegagalan beberapa agensi  mengambil langkah keselamatan dalam mesyuarat bersama bagi menangani kehadiran orang ramai, tiga hari sebelum tragedi itu.

Loading...
Terkini