Tumpuan :
Dunia

Agensi PBB lancar projek basmi ‘ulat ratus’ di Timur Afrika

Foto: Reuters

NAIVASHA: Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis melancarkan projek di Naivasha, Kenya untuk untuk melindungi tanaman makanan ruji di negara ini daripada ulat ratus Afrika (African armyworm), lapor Xinhua.

Projek berkenaan bertujuan untuk memanfaatkan keupayaan negara-negara yang terlibat kerana ulat itu boleh memusnahkan 100 peratus tanaman, jika dibiarkan tanpa kawalan, sekali gus boleh mengakibatkan kerugian besar.

Pengarah Bahagian Pengeluaran dan Perlindungan Tumbuhan FAO, Xia Jingyuan, berkata perosak itu menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan makanan di subrantau itu.

Beliau berkata ulat itu boleh membiak sendiri sehingga 13 generasi dalam satu tahun, dengan potensi besar untuk menyebabkan wabak yang lebih serius.

Projek berkenaan juga bertujuan untuk memanfaatkan kapasiti negara di timur Afrika terhadap pencerobohan ulat perosak dan turut membantu enam negara di rantau ini – Eritrea, Ethiopia, Kenya, Somalia, Sudan Selatan dan Uganda.

Projek berkenaan menekankan penggunaan Sistem Pemantauan dan Ramalan Ulat Ratus di peringkat komuniti, yang dimulakan di Tanzania pada tahun 2000, sebelum diperluas ke Ethiopia dan Kenya.

Sistem ini telah menunjukkan hasil positif dan diperluas di kampung-kampung yang berisiko tinggi di Ethiopia, Kenya dan Tanzania dari tahun 2012 hingga 2015. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini